"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W, wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam penghormatan ke atas Nabi Muhammad S.A.W"-Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad-

Friday, October 21, 2011

Hutang.. anda merancang atau dirancang

Salam jumaat buat saudaraku muslimin dan muslimat sekelian. Alhamdulillah, hari ini kita ditakdirkan Allah untuk masih lagi dapat membuka mata menghirup udara pagi yang nyaman dan segar dengan nikmat penglihatan, pendengaran, dan sebagainya yang masih sempurna dikurniakan kepada kita walaupun pagi ini kita dihebohkan dengan berita kematian bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi.

Mungkinkah hari ini hari yang ceria buat kita, atau hari yang bertambah-tambah malapetaka dalam hidup kita. Saya ingin mengambil kesempatan dipagi hari penghulu segala hari ini untuk kita saling berpesan-pesan sesama saudara tentang perkara hutang, adakah kita merancang untuk berhutang ataupun tanpa kita sedari bahawa kehidupan berhutang adalah suatu perkara yang dirancang untuk 'merantai' hati dan jiwa kita untuk hidup sebagai muslim yang mukmin.

Allah menyebut secara jelas di dalam alquran yang bermaksud:

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya"

(Al-Baqarah : ayat 275)

Firmannya lagi :

Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertobat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.
(Al-Baqarah : ayat 279)

Mungkinkah kita sedang bergelumang dengan riba? Riba dalam hutang membeli rumah, riba dalam hutang membeli kenderaan, riba dalam hutang kredit kad, riba dalam hutang peribadi dan macam-macam lagi. Suatu perkara yang mungkin kita pandang ringan tapi amat dipandang berat oleh Allah dan Rasul S.A.W. Sekiranya kita merancang untuk berhutang untuk perkara keperluan (cth; rumah dan kereta), kita mungkin perlu lebih cermat untuk memilih hutang yang berlandaskan syariah yang difatwakan halal oleh badan syariah bertauliah negara dan kita perlu mengelak dari terjebak mengambil pinjaman yang berkonsepkan konvensional itu kerana di dalamnya terdapat unsur riba yang jelas haram dan bertentangan dengan ayat alquran itu tadi.

Bagi yang merancang untuk membuat pinjaman peribadi atau kredit kad ke atas perkara yang bukanlah keperluan tetapi menciptakan niat untuk jadikannya suatu keperluan, ingatlah bahawa setelah anda terjebak anda mungkin telah menjadi sebahagian dari mangsa yang dirancang supaya hidup anda dikelilingi oleh hutang. Hidup dikelilingi hutang menjadikan spiritual anda lemah. Anda mungkin mangsa yang akan sentiasa disibukkan dengan urusan dunia kerana mengejar wang ringgit hanya kerana untuk membayar hutang anda. Mungkin hutang akan menjadikan anda seorang yang 'sejuk' dalam memikirkan isu ummat.

Semoga artikel ini menjadi peringatan kepada diri saya sendiri dan anda semua.

No comments: