Memang menyoronokkan saya melihat telatah anak anak bermain pada usia mereka. Amat jarang melihat mereka mengadu penat dengan aktiviti-aktiviti mereka sehingga kekadang saya tidak larat untuk melayan semua ajakan mereka untuk bermain itu dan ini.Sesekali merenung kelincahan mereka itu, saya teringat zaman yang saya juga pernah lalui lebih 25~30 tahun yang lalu. Keinginan untuk bermain dan berseronok memang merajai jiwa saya di zaman itu. Mungkin kalau dapat saya ingat kembali permainan kegemaran pada waktu itu antaranya main ‘polis & pencuri, selambut, dekcok ambak, guli, dekcok kapal terbang, buah getah’ dan macam-macam lagi yang hampir kesemuanya beralaskan tanah yang dikorek atau dilukis di atasnya. Memang menyeronokkan.Waktu itu nenek sayalah antara penonton setia melayan karenah cucunya ini. Kakak saya pula antara rakan saingan utama yang setahun lebih tua dari saya pada waktu itu. Tetapi, hari ini kedua-duanya sudah tiada lagi di dunia ini. Mereka telah meninggalkan saya pada zaman yang berbeza. Nenek kembali di usia tuanya dan kakak pula kembali di usia remajanya. Perpisahan memang menyakitkan tetapi begitulah ia berlaku tanpa mengenal usia kerana hidup ini hanyalah suatu persinggahan.
Sekarang ini saya berada di zaman orang panggil pemuda, mungkin suatu zaman yang dipanggil zaman pertengahan di antara 6 zaman iaitu zaman bayi, kanan-kanak, remaja, pemuda, dewasa dan zaman tua. Sebelum bayi saya dari mana? Selepas tua nak ke mana pula? Persoalan inilah mungkin saya ingin mengajak pembaca sekelian merenung kembali erti hidup suatu persinggahan yang sebahagian kita alpa dengan apa yang perlu dicari di perjalanan ini.
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertakwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji." (Surah An Nisaa’ :131)
Hmm, kita singgah ke dunia ini dalam keadaan tiada apa-apa. Tiada berharta, tiada berpangkat, darjat, kuasa dan suatu hari nanti kita juga akan tinggalkan segala-galanya ini kerana semua ini kepunyaan Allah sebagaimana saya kepunyaan Allah, anda semua juga kepunyaan Allah.
Kita milik Allah
Kadang-kadang kita alpa dengan kesibukan seharian mencari harta atau mungkin mencari sesuap nasi untuk diberi makan kepada anak isteri. Sehingga dalam suatu keadaan kita menjadi begitu “lapar” dengan harta dan kita masih lupa kita ini milikNya.
Kita juga mungkin menjadi sebahagian dari pencari ilmu. Merantau dan berhijrah ke serata alam menimba ilmu duniawi. Dalam kesibukan ilmu duniawi, janganlah kita lupa pula dengan ilmu ukhrawinya. Kerana ilmu tanpa iman sebagai pelengkapnya akan juga menjadikan kita lupa kita ini milikNya.
Allah Maha Pemurah (Ar Rahman). Pemurahnya melangkaui batasan iman seseorang kepadaNya. Kita mampu memiliki kekayaan yang luar biasa tanpa memerlukan iman walau sedikitpun. Kekayaan adalah suatu ‘kegilaan’ yang tiada noktahnya hatta kita memiliki mangkuk tandas daripada emas sekalipun belum tentu memberi kepuasan hati. Hanya iman yang mampu menghapuskan ‘kegilaan’ ini. Milikilah apa yang kita ada dengan penuh sifat qanaah.
"Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas." (Surah Al Baqarah : 212)Sebaik baik bekalan di persinggahan
Setiap persinggahan tentulah ada tempat akhir yang akan dituju. Sebagai muslim kita meyakini di penghujungnya kita hanya akan ditawarkan syurga atau neraka yang diantara keduanya memerlukan modal untuk kita layak memasukinya. Kalau modal untuk memiliki rumah yang cantik didunia ini kita memerlukan duit, begitulah nanti kita memerlukan pahala untuk memiliki syurga Allah S.W.T. Adakah pahala menjamin Syurga? Sebagaimana duit yang cukup belum tentu kita dapat memiliki rumah yang diidamkan sekiranya tuannya tidak mengizinkan, begitulah Syurga yang memerlukan Rahmat Allah untuk kita memasukinya. Perbanyakkanlah usaha mencari pahala sebagai bekalan kerana kesungguhan kita itu InsyaAllah akan menjadikan Rahmat Allah sangat dekat dengan kita.
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (Surah Ali ‘Imran : 185)
Marilah sama-sama kita menyuburkan kembali hati kita ini yang seringkali lalai dan leka dengan tuntutan bekalan sebenar yang perlu di cari untuk menuju destinasi abadi. Tiada batasan dalam mencari bekalan pahala walau di mana kita berada. Di tempat kerja, di rumah, di sekolah, di atas kenderaan atau di padang bola sekalipun kerana pandangan Allah terhadap kita tiada batasan waktu dan tempat.
Hari ini kita mungkin laju dalam perlumbaan mencari harta. Perlahankanlah sedikit, berilah masa untuk Allah. Solatlah dan jangan sesekali kita lupa kerana ia tiang agama, bersedekahlah kerana ia menyuburkan lagi harta kurnianNya, berbuat solehlah pada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada. Pandanglah wajah mereka dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang kerana ia sebahagian dari pandangan pahala. Hidup perlu diteruskan tetapi pastikan iman dan taqwa sentiasa berada bersama-sama.
Sempurnakanlah hari kita dengan ilmu dan amal, semoga ianya membuahkan iman seterusnya mendekatkan diri kita kepada Allah sebagai seorang hamba yang bertaqwa kepadaNya sementara kita masih diberikan nafas bagi menjalani kehidupan di suatu persinggahan ini.
No comments:
Post a Comment