Marilah kita bersama mentafsir kembali sejarah kehidupan sendiri. Adakah ianya suatu perjalanan yang suci atau penuh berdaki. Menginsafi diri sebagai manusia yang bertuhan, merenung kembali anugerah kelahiran. Hari ini, marilah sama-sama kita menyelami "apa ertinya saya menganut Islam"... dicedok dari sebuah tulisan seorang sarjana Islam dan tokoh ulama tersohor Sheikh Dr Fathi Yakan..
Sheikh Dr Fathi Yakan (9 Feb 1933 - 13 Jun 2009) adalah seorang ulama Islam yang memegang kerusi dalam Parlimen Lubnan pada 1992. Beliau telah dilahirkan di Tripoli. Beliau adalah antara pelopor pergerakan Islam dalam tahun 1950 dan ketua Barisan Tindakan Islam (Lubnan). Beliau memulakan usaha politik antara Perdana Menteri Fouad Siniora dan sekutunya dalam satu tangan dan pembangkang dalam usaha hingga akhir krisis pemerintahan di tengah-tengah perang tahun 2006 Israel ke atas Lubnan.
Sheikh Dr Fathi Yakan telah berkahwin dengan Mona Haddad dan telah menubuhkan sebuah universiti swasta Islam, Al-Jinan Universiti. Beliau mempunyai empat orang anak perempuan dan beliau juga telah menulis lebih daripada 35 buah buku yang sebahagian besarnya banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Dr Fathi Yakan meninggal dunia pada 13 Jun 2009 selepas sehari beliau dimasukkan ke Hospital Dieu Hotel. (Al-Fatihah)
"Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan (ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah pelindung dan sebaik-baik penolong".
(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78)
Kenapa kita Islam? Tentu sekali jawapan yang paling mudah ialah kerana kita lahir dari ibu bapa Islam. Tetapi adakah kerana kita tanpa diminta lahir sebagai muslim, terus membiarkan sahaja identiti Muslim kita itu hanya pada tikar sejadah? hanya pada tudung kepala? hanya pada lafaz salam? atau hanya pada nama? Ke mana perginya Islam kita pada waktu-waktu yang lain? Mungkin kerana kita telah di adatkan dengan resepi kehidupan melayu maka kita terlupa manakah adat dan manakah agama. Luka di hati mungkin kadangkala lebih sukar diubati dari luka di tubuh. Zahir mungkin nampak ceria tapi hati yang menangis siapa yang tahu.. roh dan jasad, hati dan perasaan, jiwa dan raga, mata dan melihat... begitulah perumpamaannya Islam dan Iman.. ibarat tiadalah mata tanpa melihat dan tiadalah melihat tanpa mata.. tiada Islam tanpa iman dan tiada iman tanpa Islam..
Islamlah kita pada zahirnya. Kita lafaz syahadah, kita solat, kita puasa, kita berzakat, kita menunaikan haji.. Semuanya itu hanya menunjukkan kita seorang muslim pada zahirnya. Tetapi, hati kita kemana? tatkala zahir kita bersujud, adakah hati kita turut bersujud? lebih malang lagi apabila zahir bersujud tapi hati berada di tempat kerja, hati berada di pusat beli belah, hati berada entah di mana... Astaghfirullah.. Masih banyak yang kita belum mengerti rupanya..
Iman tak dapat diwarisi,
dari seorang ayah yang bertaqwa,
ia tak dapat dijual beli,
ia tiada di tepian pantai,
walau apa pun caranya jua,
engkau mendaki gunung yang tinggi,
engkau merentas lautan api,
namun tak dapat jua dimiliki,
JIKA TIDAK KEMBALI PADA ALLAH..
(Petikan nasyid Iman Mutiara : Raihan)
Sesungguhnya cinta itu perlu pengorbanan, kasih sayang itu perlukan kesetiaan. Tetapi sejauh manakah pengorbanan kita pada Allah dan Rasul untuk mengakui kecintaan kita padaNya... sejauh mana pula kesetiaan kita pada Allah dan Rasul untuk meletakkan nilai kasih dan sayang yang tiada terbanding padaNya.. Masih jauh... masih jauh... dan masih banyak yang kita tidak mengerti...
Jadikanlah hari ini, hari yang baru untuk kita semua, hari yang akan memautkan kembali cinta dan kasih sayang pada Allah dan Rasul.. hati yang membawa kita mencari jawapan bagi persoalan....
APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM
bersambung...