Jauh di sudut hati setiap manusia itu terpaut akan suatu perasaan bahawa ada suatu kuasa yang lebih hebat dari kuasa manusia itu sendiri. Perasaan inilah yang menjadikan seseorang itu hidup menjadi penuh bermakna jika mana mereka mendaulatkan kuasa yang sebenar yang Maha ke atas segala-galanya berbanding alam ini dan seluruh isinya. Apa juapun pegangan dan keyakinan hati yang ingin ditunjangi, ianya mestilah selari dengan segala yang terkandung di dalam AlQuran dan juga sunnah Rasulullah S.A.W, serta yang dibawa oleh para Salafus-Soleh dan para penyampai agama yang mempunyai kefahaman dan pegangan yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Inilah yang menjadi syarat utama yang akan menyempurnakan apa ertinya saya menganut Islam. Pegangan 'aqidah adalah suatu tunjang yang akan membezakan kita dari sebahagian golongan yang lain. Beriman dari sudut 'aqidah ini hendaklah kita sempurnakan dengan beberapa perkara asas seperti berikut :
1) Saya mestilah meyakini dengan penuh keimanan bahawa alam semesta ini adalah diciptakan oleh yang Maha Pencipta, Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapupun. Suatu bukti jelas bahawa setiap kejadian penciptaan ini di atas suatu sistem yang amat sempurna dengan segala keindahan, keseimbangan dan penuh teratur hanyalah dengan suatu penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud, " Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan." (Surah Al-Anbiya' 21:Ayat 22)
2) Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam semesta ini dengan sia-sia tanpa ada tujuan. Ini bermakna kita hendaklah perlu yakin dan sedar bahawa hidup kita ini adalah suatu kehidupan yang dijadikan atas tujuan-tujuan yang ditetapkan oleh yang Maha Pencipta. Bermula dari kelahiran sehinggalah kematian hanyalah merupakan sebahagian dari suatu proses perjalanan di alam yang lebih besar.Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tidak ada tuhan selain Dia, Tuhan yang mempunyai 'Arasy yang mulia." (Surah Al-Mu'minun 23:Ayat 115-116)
3) Saya mestilah meyakini bahawa Allah mengutuskan para Rasul untuk menyampaikan kebenaran melalui kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka. Ianya tidak lain untuk menyeru manusia mengenal Penciptanya serta menjadi manusia yang patuh dan taat sebagai seorang hamba kepada yang Maha Esa. Melakukan segala yang disuruhNya dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Mereka mengajar kita mengenal asal kejadian dan ke mana pengakhiran sebuah episod kehidupan dunia untuk menuju kehidupan yang kekal abadi. Hendaklah kita bersaksi Nabi Muhammad S.A.W itu sebagai Rasul yang terakhir dari kalangan Rasul-Rasul Mulia yang diutuskan Allah S.W.T dan Al-Quran sebagai mu'jizat yang berkekalan sebagai panduan hidup manusia seluruhnya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :"Dan sesungguhnya kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan):"Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut itu", maka di antara umat itu ada yang orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." (Surah Al-Nahl 16:Ayat 36)
4) Saya mestilah beriman bahawa tujuan kita diciptakan ini adalah tidak lain hanyalah untuk mengenali, mentaati dan menjadi sebaik-baik hambaNya di dunia ini. Sehebat mana kita, sesibuk manapun kita, mungkin dengan jawatan dan pangkat yang tinggi ataupun memiliki harta kekayaan yang banyak, tidak sedikitpun mengurangkan kewajipan kita kepada tujuan asal diciptakan iaitu untuk mengabdikan diri kepadaNya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :" Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai Kekuatan lagi sangat Kukuh." (Surah Al-Zariyat 51:Ayat 56-58)
5) Saya mestilah beriman bahawa sesungguhnya syurga dan neraka itu adalah benar dan ianya dijadikan bagi ganjaran ke atas mereka yang taat kepadaNya dan balasan bagi mereka yang engkar kepadaNya. Neraca pertimbangan ketaatan dan keengkaran hanyalah didasarkan dengan acuan AlQuran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dan bukanlah berdasarkan acuan manusia.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud." Satu golongan memasuki Syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka Sa'ir". (Surah Al-Syura 42: Ayat 7)
6) Saya mestilah beriman bahawa sekelian manusia melakukan kebaikan atau kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku melainkan dengan taufiq dan 'inayah dari Allah manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :"Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kamu kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya". (Surah Al-Syams 91:Ayat 7-10)
Firman Allah lagi yang bermaksud :"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya." (Surah Al-Muddaththir 74: Ayat 38)
7) Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah S.W.T. Tidak harus sama sekali kita mendahului atau membelakanginya. Apa yang dibolehkan adalah para ilmuan Muslim atau para Ulama berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syariat dalam batas-batas yang diizinkan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :"Tentang sesuatu apapun yang kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah tuhanku, KepadaNyalah aku bertawakkal dan kepadaNya aku akan kembali." (Surah Al-Syura 42:Ayat 10)
Bersambung di siri akan datang...
Artikel berkaitan :
http://alqorni.blogspot.com/2011/06/apa-ertinya-saya-menganut-islam-siri-1.html
3 comments:
Just wanted to say you have a great site and thanks for posting!…
[url=http://androidphone7.livejournal.com/]Android Phones[/url]
Hello, I simply wanted to take time to make a comment and say I have really enjoyed reading your site.
Thanks for your visit. Hopefully it's will make us a better muslim.
Post a Comment