"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W, wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam penghormatan ke atas Nabi Muhammad S.A.W"-Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad-

Saturday, July 2, 2011

10 tips melabur dengan bijak dalam pasaran modal

1. Mengetahui produk pelaburan yang terdapat di pasaran
Di Malaysia, produk pelaburan berasaskan pasaran modal adalah sebagaimana yang berikut:
- saham (ekuiti)
- bon
- waran, CULS (saham pinjaman)
- dagangan komoditi
- niaga hadapan & indeks opsyen
- unit amanah (unit trust)

selain daripada itu, terdapat juga aset pelaburan bukan modal seperti simpanan bank, hartanah, insurans dan barang koleksi bernilai.

2. Mengetahui profil anda sebagai pelabur
Seorang pelabur bijak akan memilih satu atau lebih daripada aset pelaburan di atas, bukan sahaja berdasarkan matlamat dan jumlah modal yang dimiliki, tetapi juga bergantung kepada kesanggupan menerima risiko. Semua pelaburan mempunyai risiko; sebahagiannya lebih berisiko berbanding yang lain. Anda perlu memastikan sama ada anda seorang yang sanggup menerima risiko atau sebaliknya supaya anda boleh meneruskan program pelaburan sama ada yang agresif, sederhana atau konservatif. Pendek kata, pilih strategi pelaburan yang sesuai dengan profil anda kerana anda perlu rasa senang dengan pilihan tersebut. Jika anda tidak sanggup menerima risiko, elakkan melabur dalam ekuiti kerana harganya sentiasa turun naik dalam masa yang singkat. Anda boleh melabur seberapa agresif yang anda ingini, asalkan masih boleh tidur nyenyak pada waktu malam.

3. Pilih produk pelaburan yang sesuai dengan anda
Bon, komoditi, niaga hadapan dan opsyen ialah instrumen modal yang menarik bagi pelabur institusi dan memerlukan modal yang besar untuk berurus niaga. Sebagai pelabur runcit, anda mungkin lebih selesa melabur dalam ekuiti dan unit amanah. Tetapi yang mana lebih sesuai untuk anda?
Jika anda ada banyak masa untuk membuat penyelidikan tentang saham dan arah aliran pasaran, serta gemar menguji kebolehan sendiri, anda bolehlah melabur terus dalam pasaran saham. Sebaliknya, jika anda tidak mahu menanggung bebanan setiap hari mengendalikan sendiri urusan pelaburan, menyediakan sejumlah wang setiap kali membuat pelaburan dan mengambil langkah untuk mempelbagaikan pelaburan secepat mungkin, anda patut mempertimbangkan untuk melabur dalam unit amanah.

4. Membuat penyelidikan sebelum melabur
Jangan laburkan wang sebelum anda benar-benar memahami semua maklumat yang berkaitan dengan pelaburan. Bagi saham, anda perlu membuat pilihan berdasarkan pendekatan fundamental, bukan berdasarkan khabar angin. Bersedia untuk membuat analisis terhadap laporan tahunan syarikat, penyata kewangan dan laporan lain serta mengikuti semua perkembangan pelaburan dalam industri berkenaan, dalam negara, dan di peringkat antarabangsa. Anda mungkin boleh menggabungkan pendekatan analisis fundamental ini dengan pemilihan masa yang tepat dan bijak untuk memasuki pasaran. Berwaspada terhadap apa saja cadangan daripada rakan anda atau khabar angin, terutamanya jika tiada penjelasan munasabah disebalik cadangan itu. Prinsip asas membeli saham ialah caveat emptor: biar pembeli berwaspada.
Bagi unit amanah, anda harus meneliti dana unit amanah dan syarikat pengurusannya sebelum membuat pelaburan. Baca dan fahami prospektus dana, surat ikatan amanah, penyata kewangan, matlamat pelaburan, di mana dan bagaimana wang anda dilaburkan, risiko terbabit dan bayaran yang dikenakan. Buat penyelidikan, kumpulkan maklumat mengenai prestasi dana syarikat itu pada masa lalu dan bandingkan dengan prestasi dana syarikat lain dalam bidang yang sama - anda patut mempertimbangkan untuk melabur dalam dana yang menunjukkan prestasi terbaik ketika pasaran kurang memberangsangkan (tetapi melibatkan pengambilan risiko yang tinggi). Tetapi perlu diingat bahawa prestasi dana yang menggalakkan pada masa lalu tidak menjamin prestasi baik pada masa hadapan.

5. Bina penampan terlebih dahulu
Jangan memulakan sebarang program pelaburan jika anda belum mengumpul wang simpanan secukupnya sebagai penampan perbelanjaan kecemasan selama antara enam hingga sembilan bulan. Penampan ini penting supaya program pelaburan tidak terjejas akibat berlakunya keperluan kewangan yang mendesak. Hutang jangka pendek perlu dilangsaikan sebelum menggunakan wang simpanan untuk melabur. Fahami risiko yang lebih besar jika melabur dengan wang pinjaman.

6. Berfikir jangka panjang
Berfikir secara jangka pendek boleh menjejaskan keberkesanan rancangan jangka panjang. Harus diingat bahawa dalam apa jua pelaburan, akan wujud keadaan tidak menentu yang akan pulih semula dalam tempoh jangka panjang. Oleh itu, anda perlu bersabar dan memegang pelaburan bagi tempoh lebih lama. Sejarah menunjukkan bahawa pasaran pelaburan tetap akan kembali pulih dan bergerak ke tahap baru yang lebih tinggi. Tetapi jika anda hendak membuat spekulasi bagi mendapat keuntungan segera, lakukan dengan berhati-hati dan pastikan jumlah wang yang dilaburkan tidak akan membebankan anda sekiranya berlaku kerugian.

7. Gunakan strategi mempuratakan kos ringgit
Strategi bijak ini menyebabkan turun naik pasaran memberi manfaat kepada anda kerana melaburkan sejumlah tetap wang pada jarak waktu yang tetap bagi tempoh masa tertentu, akan mengurangkan kos purata jangka panjang bagi setiap saham. Ini merupakan cara terbaik untuk melabur dalam ekuiti yang sentiasa turun naik harganya kerana anda dapat membeli lebih banyak unit saham apabila harga turun dan membeli sedikit apabila harga naik. Cara ini juga boleh menggantikan strategi yang boleh membebankan kerana perlu meramalkan masa sesuai untuk melabur dalam pasaran.

8. Elakkan melabur semua wang dalam satu pelaburan
Cara terbaik untuk mengurangkan risiko sambil mengekalkan kadar pulangan tinggi ialah mempelbagaikan pelaburan anda dalam pelbagai jenis produk pelaburan dan kelas aset. Jika anda hanya melabur dalam ekuiti, lebih wajar membuat pelaburan dalam pelbagai syarikat dan sektor. Jika anda melabur dalam unit amanah, pilih beberapa jenis dana jangan terhad pada satu. Kerugian yang dialami oleh beberapa kaunter/dana boleh ditampung oleh keuntungan yang dinikmati di kaunter/dana lain. Cara ini mengelakkan anda daripada terlalu terdedah kepada risiko satu pelaburan sahaja. Kata orang, lebih banyak, lebih selamat. Bagaimanapun, elakkan daripada mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan kerana ini boleh mengurangkan prestasi portfolio anda.

9. Tumpukan perhatian
Sentiasa mengkaji semula dan mengawasi pelaburan anda untuk memastikan bahawa program pelaburan itu masih bersesuaian dengan matlamat kewangan anda. Pantau prestasi pelaburan anda untuk memastikan sama ada matlamat pulangan yang diharapkan telah dicapai, atau anda mungkin perlu menyusun semula pelaburan sekiranya gabungan pelaburan anda tidak sesuai lagi. Jangan takut menukar sesuatu pelaburan yang terlebih nilai dengan pelaburan baru yang lebih rendah nilainya. Tukar pelaburan untuk menyelamatkan modal anda dalam keadaan pasaran tidak menentu, bukan mengejar pendapatan lumayan yang belum pasti lagi.

10. Berhati-hati terhadap penipuan
Berhati-hati sekiranya ditawarkan keuntungan segera atau pulangan tinggi. Pada bulan Disember 2001, Suruhanjaya Sekuriti telah mengambil tindakan terhadap penipuan firma pasaran komoditi lani yang menipu pelabur beribu-ribu ringgit melalui skim mereka. Pastikan anda sentiasa membuat pengesahan sesebuah tawaran skim-skim pelaburan dengan merujuk kepada bank negara dan institusi kerajaan yang berwajib.

No comments: