"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W, wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam penghormatan ke atas Nabi Muhammad S.A.W"-Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad-

Thursday, September 17, 2009

Sepuluh Yang Terakhir

Kita sudah pun masuk ke 10 akhir Ramadhan. peringkat ini adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, babak-babak akhir ini bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertahan atau menyerang.

Rasulullah sebagai role model seorang Muslim menunjukkan contoh terbaik bagaimana memanfaatkan hari-hari akhir dalam Ramadhan. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah (ra): "Baginda bersungguh-sungguh beribadah di sepuluh akhir Ramadhan melebihi kesungguhan Baginda pada hari-hari selainnya" (riwayat Muslim). Begitu diriwayatkan bahawa "Baginda apabila berada di sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam-malam tersebut (dengan beribadah), menggerak ahli keluarga Baginda untuk bersama-sama beribadah, dan mengikat kemas kainnya (kiasan kepada ketekunan Baginda beribadah)" riwayat Bukhari dan Muslim.
Ayuh kita bermuhasabah di babak akhir Ramadhan ini…

1. Apakah kita benar-benar ghairah dalam menggandakan amal di penghujung Ramadhan khususnya dengan motivasi merebut laylatul qadar yang persis beribadat seribu bulan atau lebih lapan puluh tiga tahun?
2. Apakah dalam Ramadhan ini, air mata kita pernah mengalir atas sesalan dosa lalu yang pernah kita lakukan?
3. Berapakah fakir miskin yang tersenyum lega kerana tangan kita yang menghulur untuk memberikan mereka sedikit ketenangan?
4. Apakah kita sudah terasa serasi dengan al Quran dan Masjid sesudah melalui tarbiyyah selama hampir sebulan Ramadhan?
5. Terdetikkah dalam diri kita untuk berhijrah meninggalkan sisi gelap dalam kehidupan dan merebut kemuliaan dalam baki hidup yang entah bila penghujungnya?
6. Benarkah kita sememangnya layak menyambut Eidul Fitri yang menandakan ‘kelahiran semula’ dalam keadaan suci fitrah.

Para sahabat Rasulullah, teresak-esak dalam ibadah mereka di hujung Ramadhan kerana terlalu sayu meninggalkan bulan yang penuh keistimewaan ini….merenung Ramadhan tahun hadapan yang belum pasti….
"Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! " (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

No comments: