"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W, wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam penghormatan ke atas Nabi Muhammad S.A.W"-Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad-

Thursday, September 17, 2009

Sepuluh Yang Terakhir

Kita sudah pun masuk ke 10 akhir Ramadhan. peringkat ini adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, babak-babak akhir ini bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertahan atau menyerang.

Rasulullah sebagai role model seorang Muslim menunjukkan contoh terbaik bagaimana memanfaatkan hari-hari akhir dalam Ramadhan. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah (ra): "Baginda bersungguh-sungguh beribadah di sepuluh akhir Ramadhan melebihi kesungguhan Baginda pada hari-hari selainnya" (riwayat Muslim). Begitu diriwayatkan bahawa "Baginda apabila berada di sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam-malam tersebut (dengan beribadah), menggerak ahli keluarga Baginda untuk bersama-sama beribadah, dan mengikat kemas kainnya (kiasan kepada ketekunan Baginda beribadah)" riwayat Bukhari dan Muslim.
Ayuh kita bermuhasabah di babak akhir Ramadhan ini…

1. Apakah kita benar-benar ghairah dalam menggandakan amal di penghujung Ramadhan khususnya dengan motivasi merebut laylatul qadar yang persis beribadat seribu bulan atau lebih lapan puluh tiga tahun?
2. Apakah dalam Ramadhan ini, air mata kita pernah mengalir atas sesalan dosa lalu yang pernah kita lakukan?
3. Berapakah fakir miskin yang tersenyum lega kerana tangan kita yang menghulur untuk memberikan mereka sedikit ketenangan?
4. Apakah kita sudah terasa serasi dengan al Quran dan Masjid sesudah melalui tarbiyyah selama hampir sebulan Ramadhan?
5. Terdetikkah dalam diri kita untuk berhijrah meninggalkan sisi gelap dalam kehidupan dan merebut kemuliaan dalam baki hidup yang entah bila penghujungnya?
6. Benarkah kita sememangnya layak menyambut Eidul Fitri yang menandakan ‘kelahiran semula’ dalam keadaan suci fitrah.

Para sahabat Rasulullah, teresak-esak dalam ibadah mereka di hujung Ramadhan kerana terlalu sayu meninggalkan bulan yang penuh keistimewaan ini….merenung Ramadhan tahun hadapan yang belum pasti….
"Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! " (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Friday, September 11, 2009

MAAFKAN CIKGU

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu. Ceritanya: Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. “Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?” Dia terkejut dan wajahnya berubah. “Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya “Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?” ” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.” Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….” Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu. Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut; i. Solat sunat ii. puasa sunat iii. berzikir iv. bersedekah v. mengusap rambut anak yatim vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain vii. membantu orang susah.